Hari ini Mama tinggalkan seperempat hati Mama di bumi Brighton
bertuah ini. Agar bisa menemani Kakak walau ketika detik mana pun ~ kala
senang (Mama pasti akan gembira bersama), kala susah (Mama cuba utk
menggalas juga), kala suka (ketawa Mama pasti lebih kuat) hatta kala
susah (Mama pasti akan mengusap bahumu sambil menahan airmata).
Anak
Mama besar sudah....Kakak kini menggalas tanggungjawab mencorak masa
depanmu sendiri. Terbanglah kakak...pergilah ke mana sahaja, terbanglah
setinggi mana; doa Mama & Papa mengiring setiap detik waktu sayapmu
berdesir. Aturlah langkahmu satu persatu demi menggapai pelangi di kaki
langit. Percayalah perihal keindahannya walau tiada siapa pernah
menggenggam di tapak tangan. Andai anak Mama yang satu ini bakal menjadi
srikandi pertama mengendong pelangi dalam dakapanmu, yakinlah Mama Papa
adalah orang pertama yang sanggup membantu menongkatmu di kiri kanan
bahu.
Cuma ingatlah pesan Mama Papa yang tidak seberapa ini.....
"Bermimpilah setinggi langit
Andai terjatuh masih disambut awan
Pasanglah anganmu di bintang malam
Biar kerdipannya menyuluh segenap alam
Cuma....
Dalam kalut mengejar cita
Ingatlah bahawa kita masih punya warisan bangsa
Yang kaya dengan tatasusila
Tidak Melayu hilang di dunia...
Walau di mana bumi berpijak
Langitnya tetap sama....
Dunia ini bukan untuk dibimbit
Kita hanya menumpang teduh
Maka bersyukurlah dengan setiap anugerah yang diterima
Kerana....
Kita punya tanggungjawab terhadap Pencipta.
Mulakanlah setiap langkahmu dengan kalimah Allah Maha Agung Mohonlah keberkatan dalam setiap usahamu
Usai segala ikhtiar, jangan derhaka dari mengirim kata syukur buat Illahi.
Bersandarkan ilmu dan kalimah terbendung di dadamu,
Yakinlah....
Kakak mampu mengutip mutiara pengalaman sepanjang perjalanan
Takkan sesukar mana kalau melihatnya sebagai jihad.
Mengertilah hai anak
Walau tiada getar suara Mama Papa
seiring masa rindu dipuput bayu
Walau tiada tampak sinar jernih mata bundarmu
Kasih bertali tiada sempadan
Langitmu langit Mama Papa jua sebening bicara kata jiwa tertaut sama
Redhakan kejauhan yang sementara
Demi untuk nafas yang lebih rela
Percayalah....titipan doa Mama Papa takkan putus membasahi jiwa..."
Kak,
kita telah melakar sejarah tatkala kaki melangkah ke perut pesawat.
Mama Papa membedung dirimu dengan pesanan yang mungkin kolot
kedengarannya. Namun, inilah hakikat prinsip hidup keluarga kita. Biar
tidak moden, asalkan hidup kita berkat dengan limpahan baraqah Illahi.
Maruah dirimu tiada gantian, harganya bukan segunung intan. Maka,
peliharalah ia untuk yang punya hak....yang menatang mahar. Harapnya,
sejarah kejayaan kakak kelak akan menjadi rujukan adik2 yang menanti di
belakang. Yang bakal menyusulmu di sana kemudian nanti.......
Peluk cium Mama Papa untuk anak kami yang berani menentang arus....
Amin Ya Allah!
Ya Allah Tuhan, tabahkanlah hati Mama dan Papa :'/ Kuatkan semangat hambaMu di sini Amin Ya Rabbal Alamin.